Merealisasikan Kecemerlangan Perniagaan Melalui Teknologi Dan Inovasi

Birokrasi dan pengurusan berperingkat-peringkat sudah ketinggalan zaman. Kita perlukan organisasi yang efisien, dengan ruang pejabat yang terbuka di mana bahagian atau unit yang berlainan boleh melaung sesama sendiri dan di mana pengurusan tidak duduk dalam bilik pejabat yang canggih, sebaliknya hanya dalam kubikel yang terbuka.

CEO AT BLOG VS RESEARCHER BLOGGER !!🙂

By Zafrul | April 28, 2008

The following speech was delivered in Bahasa Malaysia last Sunday at a Symposium organised by PNB-MIDF held at Air Keroh D’Village, Melaka.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Selamat petang tuan-tuan dan puan-puan.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terimakasih atas kesudian menjemput saya untuk menyampaikan ucapan di majlis ini. Saya berasa amat berbangga diberi peluang berkongsi pendapat dan pandangan dengan para hadirin sekalian.

Saya telah diminta berucap tentang merealisasikan kecemerlangan dalam perniagaan dengan menanamkam budaya inovasi atau pembaharuan dalam perniagaan Bumiputera. Ini merupakan topik yang memang menjadi minat saya, kerana ia sangat berkait dengan apa yang saya sendiri sedang lakukan. Sepertimana yang para hadirin sedia maklum, saya mengetuai sebuah syarikat kecil yang dikenali sebagai Tune Money, yang memberikan perkhidmatan kewangan secara online. Dan setiap aspek Tune Money, tuan-tuan dan puan-puan, berkait langsung dengan inovasi dan pembaharuan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Apabila kita dengar istilah inovasi, apa yang terlintas dalam fikiran kita? Besar kemungkinan, hanya aspek teknologi. Memang betul, teknologi sangat penting. Tetapi sebenarnya inovasi merangkumi jauh lebih banyak perkara, bukan setakat teknologi sahaja. Ia sebenarnya bermaksud minda yang fleksibel, iaitu keupayaan dan keinginan untuk mencari penyelesaian yang kreatif dalam semua aspek perniagaan kita – dari cabaran-cabaran pengurusan hinggalah bagaimana kita memasarkan dan menyampaikan produk kita kepada pembeli. Teknologi ialah sebahagian daripada proses itu. Tapi jika kita fikir inovasi itu hanyalah berkait dengan teknologi, hasilnya nanti kita mungkin akan mempunyai produk yang paling canggih, tapi tiada pembeli.

Para hadirin sekalian,

Inovasi bermula sejak perniagaan kita hanyalah satu konsep di atas kertas sahaja. Macam mana kita memikirkan konsep ini? Adakah ia timbul dari impian, imaginasi, kajiselidik, rekaan dan idea kita? Atau adakah kita hanya tengok dan tiru apa yang orang lain buat? Strategi bunyinya mudah jika apa yang kita buat dalam perniagaan kita lebih kurang sama sahaja dengan strategi orang lain. Tetapi jika cita-cita kita ialah untuk sentiasa mencipta dan mewujudkan sesuatu yang baru dan segar dalam industri, merangka satu strategi yang menyeluruh sebenarnya memerlukan sikap dan pemikiran yang inovatif.

Kalau kita hanya tiru apa yang orang lain buat, kita mungkin selamat dan mungkin dapat pendapatan yang selesa. Tapi kita tidak akan lebih dari orang lain, tidak akan dapat mencipta sesuatu yang baru untuk masyarakat dan besar kemungkinan tidak dapat merealisasikan kemampuan kita sepenuhnya, baik dari segi pendapatan mahupun dari aspek kreativiti. Dan lebih penting lagi, saudara-saudari dari PNB mungkin tidak menjemput kita bercakap tentang inovasi dan keusahawanan.

Jadi bagaimana harus kita transformasikan perniagaan kita? Seorang CEO pernah menyahut: “Dulu, saya menghabiskan masa memikirkan tentang “bagaimana” – bagaimana kita lakukan sesuatu, bagaimana kita beroperasi, bagaimana efisiensi kita. Tetapi sekarang saya tumpukan perhatian kepada “apa” – apa peluang yang perlu dikejar, apa perkongsian yang perlu ditubuhkan, apa teknologi yang perlu diperkenalkan, apa kajian yang patut dibuat.”

Oleh sebab itu kita mesti fokus pada aspek “apa” ini dahulu. Apa yang kita mahu buat? Adakah ia relevan dalam senario hari ini? Adakah ia telah mengambil kira perubahan teknologi? Kemudian barulah kita memikirkan bagaimana untuk kita mencapai tujuan kita.

Dan izinkan saya berkongsi satu perkara lagi dengan tuan-tuan dan puan-puan. Gunalah stail pengurusan yang terkini. Birokrasi dan pengurusan berperingkat-peringkat sudah ketinggalan zaman. Kita perlukan organisasi yang efisien, dengan ruang pejabat yang terbuka di mana bahagian atau unit yang berlainan boleh melaung sesama sendiri dan di mana pengurusan tidak duduk dalam bilik pejabat yang canggih, sebaliknya hanya dalam kubikel yang terbuka. Di Tune Money, saya tidak ada pejabat. Dan ini memudahkan rakan-rakan sekerja saya datang berjumpa bila-bila masa jika timbul apa-apa isu, atau untuk membincangkan idea mereka, atau untuk meminta saya menandatangani cek untuk mereka.

Dan jangan sesekali fikir bahawa pengurusan cara ini hanya sesuai untuk syarikat kecil saja. Ken Iverson, CEO Nucor Steel, satu syarikat gergasi di US yang bernilai berbilion dolar, mengurangkan lapisan birokrasi dalam Nucor Steel kepada empat peringkat saja bila beliau dilantik CEO. Maksudnya seorang pekerja biasa hanya perlu dinaikkan pangkat 3 kali sahaja untuk menjadi CEO. Ramai juga yang fikir bahawa menjadi CEO itu satu yang glamor, dengan pejabat yang cantik dan kereta syarikat. Ini pemikiran kolot tuan-tuan dan puan-puan, dan harus dibetulkan jikalau kita mahu menubuhkan sesebuah syarikat yang betul-betul inovatif.

Seterusnya kita kena fikirkan macam mana untuk menghasilkan produk kita. Di sinilah di mana kajian pasaran diperlukan. Adakah wujud permintaan untuk produk kita? Bolehkah kita cari cara yang lebih kreatif untuk produk kita sampai kepada pengguna terakhir? Bila Tune Money membuat keputusan untuk menjual perkhidmatan kewangan secara online, ini ialah kerana kajian menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 80% masyarakat negara ini tidak berupaya memiliki produk kewangan premium seperti kad kredit dan insuran. Jadi kami mahu mencari satu cara supaya golongan ini mampu memiliki produk-produk tadi dengan membayar harga yang jauh lebih murah, dengan menggunakan internet sebagai perantaraan.

Ini memerlukan kami membina sistem yang sofistikated, dan bila kita lakukan sesuatu buat kali pertama, sudah pasti banyak cabarannya. Kalau tuan-tuan dan puan-puan mahu tahu tentang drama semasa pelancaran produk kami, tuan-tuan boleh baca blog saya di http://www.tengkuzafrul.com, dimana saya ada ceritakan mengenai 24 jam terakhir sebelum pelancaran produk pertama kami. Tengah malam sebelum pelancaran, kita mendapati bahawa sistem yang direka tidak berfungsi sepenuhnya. Saya memanggil balik hampir semua staf yang masing-masing sudah pun tidur untuk ke pejabat membuat testing. Kebanyakan kami terjaga seluruh malam dan walaupun pelancaran berjalan lancar, pembeli tidak mampu membeli produk kami buat beberapa hari. Ia satu masa yang sukar dan memerlukan kami berfikir pantas terutama dalam hal pemasaran dan PR.

Kemudian kami lancarkan pula Kad Prepaid kami dan menghadapi masalah lain pula, terutama bila pelanggan mahu mengecaj semula kad prepaid mereka. Banyak panggilan e-mail dan komen dalam blog diterima dari pelanggan yang marah-marah, dan kami berjaya menangani semuanya dan meningkatkan sistem kami. Hari ini, dengan sukacitanya saya boleh katakan yang kebanyakan daripada masalah yang timbul berjaya diselesaikan.

Apa yang saya hendak sampaikan ialah bila kita bercakap tentang inovasi, besar kemungkinan kita tak akan dapat mencapai kesempurnaan serta-merta. Kita harus bersedia untuk terus berusaha dan membuat pembetulan sampai kita berjaya. Kita tidak boleh putus asa sebaik saja kita berhadapan dengan halangan. Minda kita harus cukup fleksibel untuk berhadapan dengan cabaran dan memikirkan penyelesaian untuk masalah tersebut.

Para hadirin sekalian,
Biar saya ceritakan tentang sebuah syarikat kecil yang diberikan satu misi hampir mustahil. Hari ini, syarikat ini dikenali di seluruh dunia berikutan kejayaan mereka menyelesaikan misi yang diberikan. Jaipur Foot Company telah diminta mencipta kaki palsu yang boleh digunakan oleh petani untuk bekerja di dalam air yang bertakung selama 8 jam sehari dan berjalan dalam jarak yang jauh. Untuk orang miskin, mereka tidak mampu untuk tidak bekerja semata-mata atas alasan memakai kaki palsu, tuan-tuan dan puan-puan. Selain daripada syarat-syarat tadi, oleh kerana kekurangan pakar terlatih untuk memasang kaki-kaki palsu pada orang-orang miskin ini, kaki palsu yang perlu dicipta mestilah boleh dipasang oleh paramedik separuh terlatih sahaja. Dan syarikat ini tadi mesti membuat kaki palsu ini dengan kos RM200 sahaja. Jadi apa yang diminta ialah satu produk berteknologi tinggi yang mempunyai fungsi lebih banyak dari kaki palsu sedia ada, pada harga yang lebih murah.

Apa yang anda akan katakan jika dihadapi cabaran sebegini? Mustahil? Tak mungkin boleh buat? Boleh tapi pada harga yang sangat mahal? Jaipur Foot Company tidak pula bersikap begitu. Tukang mahir Ram Chandra bergabung dengan doktor pakar dan bersama-sama mereka mencipta sejenis kaki palsu yang memenuhi semua syarat tadi dengan harga RM120 sahaja.

Inilah yang dipanggil inovasi tuan-tuan dan puan-puan! Ia mengambil kira keperluan sebenar, dan batasan serta cabaran yang mengiringi keperluan sebenar ini, lalu muncul dengan penyelesaian yang ringkas tetapi elegan. Saya gemar membaca tentang syarikat2 sebegini sebab ia memberi saya harapan dan inspirasi untuk menghadapi cabaran yang saya sendiri hadapi.

Satu lagi pengajaran yang diberikan dari contoh saya tadi ialah kita tidak boleh menghasilkan sesuatu produk tanpa mengambil kira keadaan persekitaran. Semasa era syarikat2 dotcom pada tahun-tahun awal alaf 2000, kita dapat lihat banyak syarikat-syarikat baru dilancarkan yang kebanyakannya bungkus tak sampai setahun. Banyak pula syarikat2 yang modelnya ialah meniru apa yang sudah ada di pasaran sambil bermimpi untuk menjadi jutawan. Sesetengahnya diuruskan oleh teknokrat2 yang bijak tetapi hasil mereka tidak dibeli oleh satu pelanggan pun. Ini kerana model perniagaan mereka menyongsang. Mula-mula mereka menghasilkan teknologi kemudian barulah mencari pasaran. Sedangkan masa, duit dan kepakaran mereka lebih baik dihabiskan untuk mengkaji kehendak pasaran lalu mengeksploitasi kehendak tersebut.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dalam perniagaan kami, kami tahu memang wujud pasaran untuk produk yang kami pasarkan. Contohnya, syarikat sekutu kami, Air Asia ialah salah satu syarikat pertama yang menjual sebahagian besar produknya secara online. Kalau tak salah saya lebihkurang 80 peratus jualan mereka ialah secara online. Namun walaupun harga tiket sangat murah dan mereka membuka pasaran kepada orang yang sebelum ini tak mampu membayar harga tiket kapal terbang, pelanggan masih perlu membuat pembayaran digital untuk membeli tiket mereka secara online.

Tetapi masalahnya jika seseorang itu gajinya kurang dari RM1,500 sebulan atau tiada pendapatan tetap, beliau mungkin tidak boleh mendapatkan kad kredit. Walaupun beliau mampu membeli tiket Air Asia. Jadi maknanya ada satu golongan besar di luar sana yang mahu membeli secara online tetapi tiada cara berbuat demikian. Oleh itu kami muncul dengan satu penyelesaian untuk membolehkan mereka memiliki kad bayaran digital sendiri.

Sekarang tengok pula pada pemasaran. Bagaimana untuk berhubung dengan pelanggan? Pada hari ini, semuanya berkenaan sentuhan peribadi. Semakin tinggi sentuhan peribadi yang diberikan, semakin baik orang ramai memahami produk kita. Tapi bagaimana pula untuk menjadikan mesej itu cukup peribadi untuk mendapatkan perhatian mereka?
Bila saya memulakan blog CEO saya untuk menceritakan kisah Tune Money dan berkongsi pengalaman, saya tidak menjangkakan sambutan yang diterima. Apa yang saya dapati, ramai orang sebenarnya mencari orang yang mereka rasa dapat memahami masalah mereka. Dan mereka seronok dapat berhubungan dengan seorang CEO secara peribadi. Saya cuma mengambil masa beberapa minit sehari untuk menjawab soalan mereka, tetapi ia usaha yang sangat berbaloi. Dari respon pelanggan, kami mudah ketahui masalah dalam sistem kami, produk yang pelanggan mahu dan persepsi pelanggan terhadap kami. Masa saya mula-mula menulis blog, ramai kawan dan rakan setugas menganggap nya membuang masa. Sekarang semua mengakui bahawa ia satu usaha yang sangat berbaloi.

Adakah cabaran yang timbul? Sudah tentu. Tak ada satu pun yang berbaloi dibuat akan menjadi mudah. Dan perkara yang paling sukar diubah ialah mindset, samada mindset para pelanggan, pemegang saham ataupun penggubal undang-undang. Kita harus ingat bahawa manusia bertindak mengikut tabiat mereka. Dalam bahasa Inggeris, “people are creatures of habit”. Jika mereka membuat sesuatu hanya dengan satu cara sahaja sejak sekian lama, sukar untuk mengubah mereka. Rakan-rakan saya dalam media memberitahu bahawa semasa mereka mula-mula menggunakan komputer menggantikan mesintaip, terdapat banyak tentangan, terutama dari wartawan senior. Walaupun kita semua tahu bahawa jauh lebih senang menggunakan komputer, di mana kita boleh membetulkan kesalahan dengan mudah. Hari ini, kebanyakan wartawan muda tak tahu pun bagaimana menggunakan mesin taip.

Jadi jika produk anda menggunakan teknologi terkini, ia mungkin mengambil masa sebelum dapat diterima pasaran. Jangan menyerah kalah. Perubahan mungkin mengambil masa, tapi lambat-laun ia pasti berlaku. Pemegang saham anda mungkin tidak suka cara anda melakukan sesuatu. Berbincang dengan mereka supaya mereka dapat memahami cara anda. Cuba buktikan bahawa cara anda boleh berjaya. Dan kalau tak boleh, jangan malu mengubahnya. Pembuat undang-undang hanya mahu melindungi pelanggan. Jika anda membuat sesuatu yang baru, besar kemungkinan mereka akan lebih tegas dengan anda dibandingkan dengan perniagaan yang mengikut cara biasa. Bekerjasama dengan mereka.

Kesimpulannya, anda harus sabar bila berurusan dengan mindset. Perubahan sedang berlaku, ia tidak boleh disekat, dan jika anda bukan sebahagian dari perubahan, anda sebahagian dari golongan yang tertinggal.

Misalnya, kita tidak boleh mengabaikan Internet bila merangka strategi. Satu masa dahulu kita menanti dunia teknologi untuk memenuhi keperluan kita. Sekarang keadaan sudah terbalik. Kita yang harus mengejar perkembangan teknologi. Kebanyakan orang yang saya kenal mendapatkan berita mereka secara online. Mereka membeli buku dan tiket online. Dunia sudah berubah. Dan walaupun perubahan ini lebih perlahan daripada apa yang dijangkakan oleh firma-firma kajian internet seperti Forrester dan IDC, ia sudahpun berlaku.

Bagaimana kita boleh memasukkan elemen ini dalam perniagaan kita? Bagaimana kita gunakan internet untuk mengurangkan kos supaya kita dapat memberikan perkhidmatan kepada bahagian pasaran yang lebih besar? Bagaimana untuk mereka produk yang lebih mesra-alam dan menjimatkan sumber? Soalan terakhir ini mungkin bunyinya tak relevan tetapi percayalah ia memang relevan. Semakin hari pelanggan semakin sofistikated, dan mereka akan menuntu proses yang lebih mesra-alam. Tangungjawab sosial korporat bukan setakat menyumbang kepada badan amal sahaja, tetapi juga melibatkan pengurusan perniagaan yang mengambil kira faktor alam sekitar.

Kita harus menjelajah di luar sana dan lihat apa teknologi yang ada. Jangan hanya melihat di sekeliling kita untuk mencari penyelesaian kerana ia mungkin bukan penyelesaian yang terbaik. Kita sekarang tinggal dalam dunia global dan akses kita kepada maklumat dan sumber ilmu jauh lebih tinggi daripada generasi terdahulu. Pertolongan dan pengajaran boleh datang dari mana-mana, termasuk dari buku-buku perniagaan terbaru yang penuh dengan kajian kes.

Kita haruslah sentiasa peka dengan inovasi global terbaru dan cuba memikirkan bagaimana ia boleh digunapakai untuk perniagaan kita, untuk memudahkan proses, meningkatkan jaringan, memperbaiki khidmat pelanggan kita. Ini bermakna kita sentiasa berfikir tentang perniagaan kita, memikirkan penyelesaian sebelum pun timbul masalah.

Para hadirin sekalian,

Mungkin ini semua bunyinya macam terlalu banyak kerja, tetapi inilah caranya kita meninggalkan saingan kita. Dari mana kita bermula, dan siapa saingan kita, tidak penting. Kebanyakan monopoli sedang dihancurkan dan undang-undang diperkenalkan untuk melindungi syarikat-syarikat baru dari amalan-amalan anti-persaingan. Di masa hadapan saiz bukan lagi perkara penting. Jika anda mahu pelabur berminat dengan syarikat anda, persoalannya bukan saiz anda tetapi daya inovasi anda. Apa yang kita perlukan ialah syarikat yang sentiasa membaharui dirinya sendiri, organisasi yang sentiasa cuba mengubah diri mereka dan industri mereka ke sesuatu yang lebih baik.

Bersediakah kita semua dengan cabaran ini? Saya rasa kita sudah bersedia. Selamat berjaya dan saya tidak sabar membaca kisah kejayaan tuan-tuan dan puan-puan pula beberapa tahun dari sekarang.

Sekian, terima kasih.