OPTIMUM iT Sdn Bhd kini mencari syarikat pemasaran atau ejen persendirian dalam dan luar negara bagi memasarkan produk Sistem Automatik Anti Kemalangan Kenderaan (AACAS) keluaran syarikat itu, 1M Taiyuan.

“Optimum iT setakat ini berjaya mendapat syarikat ejen pemasaran untuk Indonesia, Thailand, Singapura dan Timur Tengah,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Razli Alias sempena majlis pelancaran produk berkenaan di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan produk itu akan berada di pasaran tempatan empat bulan lagi terutama selepas beberapa prosedur seperti kelulusan Sirim Berhad dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diperoleh terlebih dulu.

Beliau berkata, Optimum iT sudah diberi hak menjadikan produk itu sebagai produk buatan Malaysia sepenuhnya.

Katanya, Malaysia akan dijadikan sebagai hab untuk pengedaran dan pemasaran di Malaysia dan luar negara.

Menurutnya, produk itu adalah ciptaan Liu Taiyuan, seorang dari 10 saintis ternama di China dan dikilangkan di CongQing, China.

Liu mencipta produk itu melalui Beijing Taiyuan Automobile Automatic Collision System Manufacturing Co Ltd yang beroperasi di China.

Optimum iT adalah syarikat pertama mendapat kepercayaan sepenuhnya oleh syarikat itu untuk penambahbaikan, penjenamaan semula, pembuatan, pengilangan, pemasangan, pemasaran, pengedaran dan perundingan.

Beliau berkata, produk itu sudah melalui proses kajian terperinci selama 20 tahun sebelum diiktiraf dan diluluskan kerajaan China pada 2008.